twitstamp.com

Friday, June 4, 2010

Farah bantu pusat sindrom down


From myMetro Online : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Farahbantupusatsindromdown/Article

"KAMI mahu menarik seberapa ramai penonton yang boleh. Matlamat utama kami mencapai sasaran membantu Pusat Sindrom Down Malaysia (PSDM) mendirikan pusat latihan dengan kos RM500,000."
Begitulah kata Farah Sulaiman, koreografer terkenal sejak 1980-an yang tampil menjayakan persembahan Sparks of Broadway di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 25 hingga 27 Jun ini.
Persembahan yang disertai 54 penari berpengalaman, sukarelawan generasi muda di bawah Farah Sulaiman & Friends itu akan bergandingan dengan The Junior Sayang Dancers. Farah adalah pengasas The Sayang Dancers dan aktif mengiringi penghibur seperti Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Datuk Sharifah Aini dan Datuk Khadijah Ibrahim.

Persembahan terbaru itu menonjolkan 21 lagu Broadway terkenal diubah suai dengan elemen pop yang pasti menghiburkan.

Farah berkata, persembahan amal memberi banyak pengalaman baru kepada sukarelawan kebanyakannya pelajar sekolah menengah.

"Kami memulakan latihan vokal dan tarian sejak November lalu. Walaupun hanya memiliki masa terhad pada hujung minggu atau cuti sekolah, masing-masing mempamer kesungguhan dan semangat tinggi.

"Kebanyakan kanak-kanak serta remaja berusia antara tujuh hingga 18 tahun begitu komited dan serius mengikuti latihan. "Mereka akan mempersembahkan pelbagai tarian dinamik, toe tapping bersama set pentas warna-warni dan kostum menarik," kata Farah pada sidang media di Duta Nusantara, Sri Hartamas, baru-baru ini.

Turut memantapkan persembahan itu pengarah Sparks of Broadway, Sabrina Hassan bersama pengarah muzikal, Peter Ong serta beberapa lain seperti Johan Yusof, Keith Yew dan Ho Soon Yoon. Farah berkata, acara amal seumpama itu kali kedua diadakan selepas kejayaan DanSing Thru Broadway 2008. "Saya terharu dapat menjayakan persembahan kali kedua seperti itu. Paling penting, persembahan Sparks of Broadway satu cara kami memperkenalkan kesenian sambil menyemai rasa prihatin kepada masyarakat.

Hadir sama pada majlis itu, penaung Sparks of Broadway, Datin Norzieta Zakaria serta Presiden PSDM, Wan Mohd Hanizam Wan Ramlan.

Sebahagian lagu diambil daripada 17 muzikal Broadway berbeza. Antaranya All That Jazz (Chicago), Summer Nights (Grease), Bring Him Home (Les Miserables) and Without Love (Hairspray).

Farah, 52, pernah menjayakan beberapa persembahan produksi amal sebelum ini. Antaranya Dance Histeria (2000), Dance Histeria 2 (2004), Jalan Impian The Musical (2005) dan DanSing Thru Broadway (2008/2009).


Malam Gala 25 Jun bakal dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tiket menyaksikan persembahan gala pada 27 Jun berharga RM80 hingga RM120. Pada 26 dan 27 Jun, tiket berharga RM50, RM60 dan RM80. Tiket 2 persembahan Matinee jam 3 petang pada 26 dan 27 Jun, RM40.

Untuk mendapatkan tiket, sila layari www.ticket2u.biz atau menghubungi hotline 03-4149 8600.

Oleh Esme Johari Wahab
esme@hmetro.com.my
2010/06/03

No comments: